Pahit Manis Alam Pertunangan

assalamualaikum.. dah lama tak menulis dlm blog.
ape yang ingin ditulis pun, tatau… walaupun byk cerita yang ingin diceritakan.. (huhu, berhati2 dalam melontarkan perkataan, terkesan dengan artikel ust.hasrizal..)
apapun, bila dah masuk final year, makin banyak yang bercakap soal jodoh.. hurm, susah utk diluahkan, apa yang terbuku di hati…
sukarnya menjaga hati, akal dan fikiran apabila dah memasuki alam pertunangan ni.. betul ke perasaan dia macam tu? hurm, apapun, tanyalah kembali pada hati.. fatwa hati.. moga ALLAH membersihkan hati2 kita, moga fatwa itu datang dari hati yang tunduk patuh padaNYA..
moga;
andai ada kesalahan yang kita lakukan dalam tempoh pertunangan itu,
andai ada bahasa yang terkasar,
andai ada gurau senda yang berlebihan,
andai ada sms / emel yang tak kena pada masa nya… etc,
moga ALLAH tak membalasnya dgn tiada keSENANGan dan keTENANGan dlm alam rumah tangga nanti..
artikel di bawah, adalah karangan ummusaif, wife ust hasrizal, seorg tokoh yang wa kagumi.. menceritakan cerita kehidupan dalam bentuk santai, itulah hikmah dakwah yang ada padanya. moga ALLAH memanjangkan usia nya dan keluarga..

Pahit Manis Alam Pertunangan

Alhamdulilah setelah semua selesai, semua jelas. Kami sepakat bertunang baru-baru ini. Sebelum itu, tunang telah memberitahu bahawa dia tidak suka jika kami kerap berhubung lantaran tiada ikatan yang sah. Tunang juga berkata, jika tiada apa-apa tak perlu lah bermesej.

Sepanjang pertunangan, saya dan tunang cuma bertemu sekitar 3 kali. Itu pun di rumah keluarga saya. Saya sangat kagum dengan akhlak tunang. Mak dan Abah pun suka apabila dia mengimamkan solat ketika di rumah kami.

Sejak pertemuan yang kedua, tunang tidak pernah menelefon. Namun, saya faham mengapa tunang tidak menelefon. Beliau telah jelaskan kepada saya.

Pendek kata, saya tidak gusar dan bimbang dengan dia. Namun, sejak akhir-akhir ini, sangat bimbang di hati saya. Saya pun tak tahu kenapa.

Alam Pertunangan Yang Menguji

Tahniah saya ucapkan kepada setiap pasangan yang ingin mendirikan perkahwinan. Sama ada sudah melangsungkan majlis pertunangan atau belum, pokoknya setiap pasangan yang telah mengikat janji setia itu sudah pun bertunang. Tidak keterlaluan kalau diperibahasakan, “kerbau dipegang pada tali, manusia berpegang pada janji”. Justeru jangan mudah menyebut janji, kerana janji itu tali pengikat hablun minannaas.

Seperti mana-mana perhubungan sesama manusia, tiada bezanya alam pertunangan dengan persahabatan atau sesama suami isteri, sentiasa penuh dengan ujian dan perasaan. Bezanya sepasang yang bertunang dengan sepasang suami isteri ialah mereka terbatas sebagai pasangan yang bukan mahram. Malah belum sesuai dirujuk sebagai ‘pasangan’.

Perasaan sayang yang terbina dan terkumpul selepas ikatan janji pertunangan adalah lumrah alam ataupun sunnatullah. Amat mustahil sedikit perasaan pun tidak ada di dalam hati. Perasaan itu jika maksudnya adalah bibit-bibit kasih sayang berupa penghargaan seseorang kepada seseorang yang bakal menjadi teman seumur hidupnya, ialah perasaan yang lumrah dan baik. Ia bukan zina hati sebagaimana yang sering dikelirukan oleh anak muda yang suka malah mudah bermain perasaan. Perasaan itu akan menjadi zina hati, apabila ia cenderung kepada apa yang haram di luar perkahwinan, justeru hanya hanya dengan jalan perkahwinan sahajalah, perasaan itu boleh berkembang seluas-luasnya.

Di sinilah Islam menggalakkan agar dipercepatkan proses ‘upgrade’ alam pertunangan tersebut. Jangan bertunang lama-lama kerana bertunang hanya alam transit. Singgah lama-lama di lokasi transit akan hanya mengundang letih, jemu dan ‘putus bekalan’.

Justeru, alam pertunangan ialah alam berkembang dalam kawalan. Perkembangan mesti digalakkan, namun kawalan mesti diutamakan. Jika lemah kawalan, bersegeralah menyegerakan penghapusan had batasan dengan melangsungkan perkahwinan. Hukum Allah sentiasa yang paling utama. Oleh itu apa yang boleh dilaksanakan semasa di alam pertunangan yang terbatas ini ialah kedua-duanya harus sentiasa berbaik sangka dalam berfikir juga berbicara. Buangkan segala prasangka yang buruk yang merugikan lagi melalaikan.

Tujuan Berkomunikasi

Tidak salah berkomunikasi jika tujuannya betul. Komunikasi, seperti yang kita sedia maklum, ialah sunnatullah. Sistem Allah ke atas interaksi manusia dengan sesama manusia. Perbincangan seperti tempoh pertunangan, urusan perkahwinan, perancangan tempat tinggal selepas perkahwinan , malah isu-isu sesensitif perancangan anak, semua itu adalah perlu. Jika tiada komunikasi, tentu sahaja keperluan-keperluan ini akan sama ada diabaikan, atau dibina atas andaian dan sangkaan masing-masing sahaja. Ini bahaya.

Untuk mencapai matlamat itu, kita bukan sahaja dibenarkan berjumpa di rumah perempuan, kita juga boleh bertandang ke rumah keluarga lelaki. Bukan sahaja si lelaki yang perlu mengenali latar belakang diri dan keluarga perempuan, malah begitu juga sebaliknya. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ini ramai lelaki (dan juga perempuan) yang bertopeng. Seorang lelaki mungkin sudah pun beristeri semasa melamar seseorang perempuan! Tidak molek perkahwinan dibina di atas penganiyaan yang boleh dielakkan. Tunang perempuan dan keluarga boleh bertandang ke rumah keluarga lelaki bagi merapatkan hubungan asalkan mendapat persetujuan keluarga lelaki. Kalau keluarga lelaki setuju tetapi mendapat tentangan dari tunang (lelaki), maka mungkin ada udang di sebalik batu!

Berkenaan dengan perbuatan bertukar-tukar hadiah, pada pemahaman saya, ia dibenarkan sebagai tanda peringatan dan proses menyemai perasaan sayang. Maka, tidak salah kita berberi bagi merapatkan hubungan. Mungkin di sini hikmahnya cincin pertunangan itu walaupun setakat ini saya belum lagi menjumpai hukum sebenar pemakaiannya. Sekadar mengambil makna umum pesanan Nabi SAW, “bertukar-tukar hadiahlah kamu, untuk kamu kasih mengasihi”.

Berikut adalah sedikit petikan perihal pertunangan yang saya ambil daripada blog suami saya di
http://saifulislam.com/?p=1261

Dalam usaha untuk menjaga batas-batas agama, kerana seorang tunang dengan tunangnya masih tetap warga asing yang ajnabi, kadang-kadang banyak persoalan pelik yang ditimbulkan.

Soal berapa kali agama membenarkan sms, menunjukkan unsur-unsur robotik dalam kefahaman pelajar tersebut tentang mengukur komitmennya dalam beragama.

“Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan”, saya menyambung peringatan.

Mintalah fatwa dari hati… di samping hati itu juga pula sentiasa berada dalam nada sedar yang baik terhadap Allah SWT.

Antara hikmah bertunang ialah untuk saling belajar mengenal, insan baru yang bakal menjadi teman seumur hidup. Tetapi proses kenal mengenal itu masih dalam keadaan kedua-duanya adalah pasangan yang belum ada ikatan yang menghalalkan pergaulan. Maka bijak-bijaklah dalam mengatur.

Telefon, email, sms… tanya khabar.

Cuma bersederhanalah.

Bila hati rasa tidak kena, semacam agak berlebihan dan tersasar dari maksud-maksud yang maaruf, belajar tekan brek dan kawal stering. Itu sahaja.

Terutamanya ketika menjelang perkahwinan. Banyak perkara yang harus dibincangkan. Maka berbincanglah… dan kemaskan sistem kawalan diri.

Berbincang tentang syariatullah, berbincang tentang sunnatullah.

Akhir kata dari saya, tenangkan diri dengan doa dan solat. Insya Allah perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Kalau jodoh tetap jodoh. Kalau bukan, itulah yang terbaik buat kita.

Wallahu a’lam.

UMMUSAIF.COM
56000, Cheras

Leave a Reply